Wednesday, August 22, 2007

Memeriksa Punca Pecutan Lemah

Pernahkah anda mengalami keadaan ketika cuba memotong kenderaan di hadapan atau mendaki bukit, anda terasa kuasa pecutan kereta anda agak berat berbanding sebelumnya?

Apakah punca masalah itu? Kenapa keadaan itu berlaku sedangkan cekam palam pencucuh, suis pemutus arus baru saja ditukar?

Ada beberapa punca yang menyebabkan berlakunya kerosakan itu, iaitu sama ada sambungan sistem batang pendikit (throttle) dari pedal petrol ke karburetor kurang baik, elemen daripada penapis udara kotor atau tersumbat dan saat penyalaan yang terlalu lambat.

Selain itu, kerosakan pada paip saluran minyak dalam karburetor dan pengatur saat penyalaan pada distributor tidak berfungsi dengan baik turut mempengaruhi prestasi pecutan sesebuah kereta.

Berikutan itu apa yang perlu dilakukan ialah membuat beberapa pemeriksaan pada bahagian enjin kenderaan.

Mula-mula, anda perlu memeriksa batang yang menghubungkan pedal petrol dengan karburetor iaitu dengan memeriksa katup petrol (throttle) sama ada terbuka atau tertutup apabila pedal petrol dipijak dan dilepaskan kembali.

Bagaimanapun, jika ada pasak sambungan yang sudah haus (sehingga sambungannya longgar), untuk sementara waktu keadaan itu dapat diperbaiki dengan menggunakan kawat atau pembalut getah.

Kemudian anda perlu memeriksa penapis udara sama ada ia tersumbat. Apabila ternyata bahawa elemen penapis udara agak kotor, maka ia menunjukkan bahawa penapis udara itu tersumbat dan ia perlu dibersihkan segera.

Ada dua jenis penapis udara iaitu penapis jenis kertas dan penapis dengan minyak. Cara membersihkan setiap jenis penapis adalah berbeza dan perlu dilakukan dengan cermat.

Sekiranya penapis udara itu sudah lama digunakan, langkah terbaik adalah dengan menukarnya kepada penapis baru supaya pengedaran udara dalam enjin lebih lancar.

Selain itu, pembaikan kecemasan terhadap kerosakan yang terjadi akibat kemasukan petrol yang terlalu banyak atau terlalu sedikit dan kerosakan pada paip petrol serta kerosakan pada alat (vakum) pengatur saat penyalaan turut menjadi punca kepada masalah itu.

Soalnya, mengapa enjin tidak dapat menghasilkan daya penuh? Untuk mendaki bukit, biasanya kereta dapat bergerak dengan menggunakan gear ketiga.

Akan tetapi, sejak kebelakangan ini pada gear ketiga kereta seolah-olah merangkak mendaki bukit dan akhirnya terpaksa menukar kepada gear kedua dengan enjin yang mengaum kuat.

Apabila berhadapan dengan masalah ini, antara puncanya ialah kerosakan pada sistem penyalaan, penyaluran petrol kurang tepat, enjin terlalu panas, kerosakan cekam (clutch), brek ketat atau tekanan enjin tidak cukup.

Justeru, bila berhadapan dengan keadaan itu pemeriksaan terhadap sebab-sebab dan pembaikan kecemasan sebegini boleh dilakukan:

Pertama : periksa sama ada saat penyalaan sudah tepat. Ini dilakukan dengan memeriksa palam pencucuh. Apabila nyalaan elektrik yang terjadi terlalu lemah atau tidak teratur, bukalah penutup pengagih dan periksalah suis-suis penutup arus.

Kedua : periksa sama ada sistem penyaluran petrol berada dalam keadaan baik. Apabila petrol yang mengalir ke dalam silinder tidak sesuai dengan yang diperlukan (terlalu banyak atau terlalu sedikit) keadaan itu boleh menyebabkan terjadinya campuran petrol dan udara yang kurang sempurna, sehingga keupayaan enjin akan berkurangan.

Selain itu, perlu juga periksa sama ada penapis udara tersumbat oleh kotoran. Periksa juga sama ada injap udara (choke) berada dalam keadaan tertutup.

Masalah enjin tidak menghasilkan daya penuh juga terjadi apabila enjin terlalu panas.

Periksa juga adakah cekam rosak atau brek yang bergesel. Adakalanya enjin tidak mengeluarkan daya penuh bukanlah berpunca daripada masalah enjin itu sendiri.

Cekam rosak atau brek yang bergesel menyebabkan keupayaan enjin tidak dapat disalurkan dengan baik sehingga menyebabkan gejala yang sama dengan keadaan enjin tidak mengeluarkan daya penuh.

Masalah berkenaan sering menjadi kekeliruan utama kerana setiap kali enjin tidak mengeluarkan daya penuh, tumpuan diberikan kepada mencari masalah enjin, sedangkan dalam banyak keadaan cekam atau brek yang bergesel menjadi puncanya.

Biasanya, kerosakan sebegini terjadi kepada enjin yang sudah tua. Justeru, gejala ini kurang terjadi kepada kenderaan yang berjalan kurang daripada 100,000 kilometer.